Saturday, 24 November 2012

Refleksi Pengajaran Makro

Refleksi Pengajaran Makro Bahasa Malaysia Prasekolah Cerdas Ria

Set induksi, langkah satu, langkah dua dan penutup.

Definisi refleksi pengajaran

Refleksi pengajaran ialah pernyataan yang ditulis oleh seseorang guru yang menyatakan tentang amalan dan tingkah laku pengajaran yang telah dilakukannya. Refleksi cuba mengupas tentang hasil, akibat dan kesan mengenai sesi pengajaran dan pembelajaran. Hasil daripada itu akan terbentuklah kefahaman baru, kesedaran, keeinsafan dan perubahan persepsi. Di samping itu juga refleksi pengajaran dapat menjadikan seseorang guru membuat penilaian kendiri. Seseorang guru yang mempunyai pemikiran reflektif juga dapat berfikir secara analitis, kreatif dan kritis dalam menambahbaik sesi pengajaran agar lebih bermakna. Semasa menulis refleksi juga guru dapat melihat perkara penting supaya masalah yang timbul dapat diselesaikan dan diubah ke arah yang lebih baik.

Perasaan sebelum dan semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran

Sebelum menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, saya berasa bimbang kerana sepanjang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan harus dirakamkan. Saya perlu menyediakan alat bantu mengajar yang menarik, mengawal disiplin murid-murid supaya mereka dalam keadaan yang terkawal. Selain itu, saya juga perlu mengajar dengan penuh keyakinan. Segala perkara ini amat membimbangkan saya. Namun saya dapat mengawal perasaan saya walaupun ada sedikit langkah yang saya terlupa kerana saya sedang dirakam.

Semasa menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, saya berpuas hati kerana murid-murid dapat memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada saya walaupun terdapat murid yang masih terlalu aktif. Walau bagaimanapun, aktiviti pengajaran dan pembelajaran saya dapat dijalankan dengan lancar dan sempurna.

Definisi set induksi

Set induksi mempunyai pelbagai maksud antaranya, Omardin Ashaari (1997) mendefinisikan set induksi adalah proses terawal dalam sesuatu pengajaran yang dirancang dengan sengaja untuk tujuan-tujuan tertentu.

Set induksi juga bermaksud satu cara memulakan pengajaran di mana kemahiran memulakan pengajaran amat penting kerana di sini guru menyampaikan ideanya kepada pelajar dan menanamkan ke dalam fikiran pelajar bahan-bahan pengajaran yang hendak disampaikannya. Sementara itu, guru juga perlu menumbulkan minat dan menggerakkan para pelajar supaya mereka sedia belajar dan memikirkan pengetahuan serta kemahiran yang dipersembahkan oleh guru mereka.

Dalam pengajaran makro Bahasa Melayu saya pada permulaan ianya berjalan lancar. Namun kelemahan pada sesi itu ialah apabila murid tidak memberitahu tentang rasa barang yang dipegang di dalam beg dengan jelas kepada rakan-rakan yang lain. Pada ketika itu saya memilih murid yang berumur lima tahun yang kurang aktif. Kebaikannya ialah, murid tersebut berasa seronok dan murid-murid yang lain dapat memberi tumpuan. Mereka rasa tertanya-tanya apakah barang yang ada di dalam beg itu. Dengan itu guru dapat memulakan pengajaran dengan baik dan meneruskan langkah satu dengan lebih teratur.

Dalam langkah satu saya menunjukkan carta gambar buah-buahan. Murid mudah menyebut kerana mereka pernah melihat sebahagian daripada buah-buahan tersebut. Namun saya perlu menerangkan mengenai buah-buahan itu tentang kegunaannya, cara memanam, cara menjaga, cara mengupas, cara makan, warna, rasa, bentuk, kebaikan, kekurangan dan murid perlu meneroka tentang buah-buahan tersebut supaya pembelajaran lebih bermakna. Di samping itu juga, murid dapat menggunakan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Dengan masa yang singkat saya tidak dapat menyampaikan secara lebih mendalam tentang buah-buahan tersebut dalam satu masa. Murid juga tidak akan dapat menumpukan perhatian penuh jika masa itu terlalu panjang. Ini adalah kerana faktor usia murid yang masih kecil iaitu sekitar lima dan enam tahun. Walaupun begitu saya boleh menyambung pengajaran tentang buah-buahan pada waktu yang lain dengan aktiviti praktikal seperti murid menanam pokok buah-buahan, menyiram, membuat rojak buah dan sebagainya. Saya perlu menunjukkan gambar buah-buahan pada ketika itu supaya murid dapat mengingat semula tentang buah-buahan.

Pada langkah kedua pula, ia sangat penting kerana di sinilah murid belajar mengeja, membaca dan menulis. Saya ingin memastikan semua murid saya dapat menguasai kemahiran ini. Ia merupakan asas yang perlu dikuasai sejak di prasekolah lagi. Pada ketika ini, murid dapat mengikuti dan memberi perhatian kepada langkah kedua saya. Namun masih ada murid aktif yang hanya dapat memberi perhatian dalam masa yang singkat. Pada masa akan datang saya perlu menggunakan bahan bantu mengajar yang berasaskan teknologi multimedia untuk aktiviti mengeja dan membaca. Ketika aktiviti menulis, sebagai guru saya perlu memastikan muri d dapat menulis dengan betul. Ini memerlukan kesabaran yang tinggi bagi memastikan objektif tercapai. Ia adalah kerana, di dalam kelas saya murid terbahagi kepada lima kumpulan. Pertama bijak, kedua baik, ketiga sederhana, keempat lemah dan kelima mempunyai masalah pembelajaran. Sebagai penyelesaiannya, saya perlu memantau murid ini mengikut kumpulan mereka. Saya memberikan semua perhatian penuh mengikut masa masing-masing. Sebagai contoh, yang bijak aktiviti lebih mencabar seperti dikehendaki bercerita dan membantu rakan di samping peneguhan positif yang tinggi kepada mereka. Namun murid yang lemah saya beri semangat agar mereka rajin dan rasa dihargai.

Saya juga mendapati bahawa murid berasa seronok dan aktif melibatkan diri semasa murid belajar mengeja dan membaca. Saya juga perlu menambah baik aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan sesuatu media elektronik atau menggunakan kemudahan komputer di dalam kelas supaya terdapat bunyi-bunyian yang menarik perhatian murid dan murid lebih seronok belajar dengan sesuatu tayangan mengenai buah-buahan. Murid prasekolah memang berminat dengan pengajaran dan pembelajaran yang mempunyai lagu, gerakan, gambar yang berwarna-warni dan aktiviti yang menarik.

Secara jujurnya, saya kurang berpuas hati dalam aktiviti penutup. Ini adalah kerana penyampaian saya kurang berkesan dalam masa yang singkat itu. Namun saya lihat semua murid berpuas hati kerana mereka dapat menikmati sedikit ganjaran yang saya sediakan, di samping mereka dapat makan semua buah-buahan yang guru bawa iaitu pada waktu rehat. Saya juga mahu semua murid saya dapat menyiapkan tugasan yang diberikan di rumah agar ada kesinambungan buat mereka ketika di rumah lebih-lebih lagi bagi murid yang lemah. Harapan saya sebagai seorang guru agar semua murid saya berjaya di dunia dan di akhirat. Pada keseluruhannya, pengajaran dan pembelajaran saya telah berjaya menambah ilmu pengetahuan untuk anak didik saya dan perlu ditambah baik pada sesi pengajaran dan pembelajaran seterusnya.

No comments:

Post a Comment